Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita.
"Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan." (HR. Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda:
"Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan." (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu? Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Hati Telah Menjauh
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. Justeru 'alat komunikasi' yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
No comments:
Post a Comment